Bursa Malaysia dibuka rendah pada dagangan Jumaat berikutan kekurangan pemangkin baharu dan kenaikan semalaman Wall Street berikutan sokongan data ekonomi AS yang kukuh.
Pada 9.10 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 7.89 mata kepada 1,663.43 daripada paras 1,671.32 yang dicatatkan semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka susut 2.73 mata pada 1,668.59.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengtasi untung iaitu 233 berbanding 125 dengan 305 kaunter tidak berubah, 1,863 tidak diniagakan dan 123 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 188.22 juta unit bernilai RM99.28 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street mengakhiri dagangan dengan positif apabila didorong oleh data ekonomi yang baik terutamanya tuntutan pengangguran yang menurun.
Purata Perindustrian Dow Jones naik 260 mata manakala Nasdaq menokok sebanyak 108 mata dengan hasil Perbendaharaan 10 tahun AS meningkat pada 3.79 peratus.
Di peringkat domestik, FBM KLCI ditutup rendah pada Khamis berikutan aktiviti pengambilan untung oleh dana asing pada sesi akhir.
Sementara itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan CIMB Group susut dua sen kepada RM10.64 dan RM8.26, Public Bank turun tiga sen kepada RM4.64, Tenaga Nasional naik dua sen kepada RM14.68 dan IHH Healthcare meraih lima sen kepada RM7.15.
Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 83.68 mata kepada 19,592.18, Indeks Tenaga susut 11.21 mata kepada 844.83 dan Indeks Perladangan turun 11.28 mata kepada 7,173.68 namun Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.24 mata kepada 177.13. – Bernama