Bursa Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi pagi ini mencerminkan prestasi pasaran serantau yang lemah berikutan sentimen terus berhati-hati disebabkan ketegangan di Timur Tengah.
Pada jam 3.15 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 12.15 mata atau 0.74% kepada 1,629.78 daripada 1,641.55 pada penutup Khamis.
Indeks petunjuk pasaran yang dibuka rendah 3.06 mata kepada 1,638.49 iaitu bergerak antara 1,629.94 dan 1,639.29 sepanjang sesi.
Sentimen pasaran meluas adalah negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 582 berbanding 302 dengan 459 kaunter tidak berubah, 1,065 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.82 billion unit bernilai RM1.12 billion.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata Wall Street semalaman ditutup rendah berikutan kebimbangan mengenai ketegangan di Timur Tengah yang meningkat dan laporan NFP AS bagi September malam ini.
Menurutnya, Dow Jones Industrial Average (DJIA) merosot 185 mata manakala Nasdaq susut 7.0 mata berikutan hasil 10 tahun Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) naik kepada 3.84%.
Firma itu percaya indeks masih berada dalam fasa konsolidasi dan menjangkakan ia berada dalam julat 1,640 hingga 1,650 hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional, masing-masing merosot 4.0 sen kepada RM10.50 dan RM14.24, Public Bank susut 2.0 sen kepada RM4.55, CIMB Group berkurangan 5.0 sen kepada RM7.94 dan IHH Healthcare turun 7.0 sen kepada RM7.17.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 52.61 mata kepada 12,217.16, Indeks FBMT 100 berkurangan 52.16 mata kepada 11,911.13 dan Indeks FBM 70 susut 19.14 mata kepada 17,277.09.
Indeks FBM ACE merosot 19.45 mata kepada 5,106.30 manakala Indeks FBM Emas Shariah susut 67.43 mata kepada 12,113.97. – Bernama