Walaupun kesan pada pasaran agak lewat, namun US dolar telah kembali bergerak pada landasannya di pembukaan awal minggu ini dengan corak penyusutan yang ketara.
Petunjuk pada angka inflasi Amerika Syarikat (AS) diterbitkan minggu lalu menguatkan jangkaan bahawa Federal Reserve (Fed) bakal melaksanakan langkah pemotongan kadar faedah pertama mereka dalam tempoh lebih 3 tahun.
Indikator CME FedWatch telah mula menunjukkan perubahan pada peratusan jangkaan pemotongan kadar Fed iaitu 62% untuk pemotongan 50 mata asas manakala hanya 38% untuk 25 mata asas.
US dolar dilihat cenderung untuk bergerak lemah namun penganalisis memberi amaran kepada pelabur bahawa situasi pasaran bakal tidak menentu menjelang mesyuarat FOMC pada awal pagi Khamis nanti.
Mesyuarat FOMC edisi September ini telah lama dinantikan para pelabur setelah berlegar spekulasi untuk perubahan dasar monetari Fed yang dikekalkan sebelum ini, menjangkakan impak besar bakal tercetus dalam pasaran sehingga dagangan ke penghujung 2024.
Pasaran melihat pemotongan kadar faedah Fed jika dilakukan pada mesyuarat terbaru ini akan mendorong pelonggaran dasar yang berterusan sehingga penghujung tahun.
Namun, jangkaan boleh berubah berdasarkan kenyataan yang bakal disampaikan oleh Pengerusi Fed Jerome Powell nanti.
Kemungkinan tetap ada berikutan laporan pekerjaan NFP Ogos telah mula menunjukkan pemulihan serta pertumbuhan ekonomi AS pada suku kedua yang lebih baik.
Selain mesyuarat FOMC, Bank of England (BOE) dan Bank of Japan (BOJ) turut akan melangsungkan mesyuarat polisi mereka dengan jangkaan kedua-duanya akan mengekalkan kadar faedah tidak berubah seperti sebelum ini.
Pasaran juga perlu bersedia dengan terbitan data-data ekonomi penting sepanjang minggu ini seperta data inflasi Kanada dan UK serta data pekerjaan Australia.