Pergerakan harga pada carta pasangan mata wang GBP/USD dilihat masih terselamat dari alami kejatuhan lebih parah.
Ini adalah disebabkan terbitan laporan data PMI bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan UK pada sesi Eropah semalam menyaksikan bacaan angka yang baik bagi kedua-dua sektor tersebut pada bulan Julai.
Pound berjaya paparkan pengukuhan positif pada dagangan awal sesi tersebut namun dilihat belum menunjukkan reaksi yang meyakinkan.
Sementara, data yang sama untuk Amerika Syarikat (AS) diterbitkan di sesi New York menunjukkan bacaan yang bercampur dengan sektor perkhidmatan yang kukuh sementara pembuatan pula alami penguncupan kali pertama tahun ini.
US dolar melemah seketika namun kembali paparkan pemulihan menuju dagangan ke penghujung sesi.
Jika diperhatikan pada carta GBP/USD, harga masih berlegar pada zon 1.29000 sejak dari awal minggu hingga semalam.
Kenaikan harga berlaku sekadar menghampiri paras 1.29400 sebelum berundur turun semula ke 1.29000 semula.
Harga yang kembali berlegar di bawah garisan halangan Moving Average 50 (MA50) pada rangka masa 1 jam di carta tersebut memberi isyarat untuk pergerakan bearish bakal diteruskan.
Sekiranya harga menjunam lebih ketara di bawah zon 1.29000, akan memberi isyarat lebih jelas kepada pelabur untuk menjangkakan penurunan harga menuju ke paras lebih rendah.
Sasaran dilihat pada zon 1.28000 untuk diuji harga dan reaksi di sekitar itu akan diperhatikan sebagai petunjuk arah pergerakan selanjutnya.
Sebaliknya jika melonjak kukuh di atas 1.29000, harga berkemungkinan akan cuba untuk mencapai semula paras 1.3000 sebelum melepasi ke paras lebih tinggi.
Seterusnya, ketinggian yang dicapai pada minggu lalu sekitar 1.30400 bakal dicabar untuk harga pecahkan rekod tertinggi 1 tahun tersebut.
Lihat gambar carta harga pasangan GBP/USD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.