Pagi ini, harga emas alami pemulihan naik ke paras $2,025 berbanding penurunan dua hari berturut-turut yang hampir mencecah nilai $2,000.
Kenaikan itu disebabkan oleh momentum kenaikan dolar AS sedikit terbantut dan emas mengambil kesempatan.
Sementara itu, Indeks Dolar AS (DXY) kekal berlegar-legar sekitar 103.40 mata. Hasil Perbendaharaan AS pula bergerak positif di mana hasil 10 tahun naik kepada 4.17% setakat ini.
Data ekonomi AS pada minggu ini masih berdaya tahan dan pendirian Federal Reserve (Fed) yang bernada dovish masih melemahkan jangkaan pasaran berkenaan jangkaan pemotongan kadar faedah.
Pegawai Fed nampaknya kurang berminat untuk berkata soal penurunan kadar faedah walaupun pasaran sudah heboh dengan jangkaan potongan 57% pada bulan Mac nanti.
Semalam, laporan Tuntutan Faedah Pengangguran mingguan AS turun kepada 187,000 pada minggu sebelum ini daripada 203,000 dalam bacaan sebelumnya. Ia adalah dalam jangkauan baik berbanding jangkaan pasaran iaitu 207,000.
Selain itu, Tinjauan Pembuatan Fed Philadelphia Januari naik kepada -10.6 daripada -12.8 pada bulan Disember lepas. Data ekonomi yang optimis menyokong naratif yang lebih ketat untuk Fed dan mungkin akan menyokong nilai mata wang dolar AS dalam pasaran.
Secara tak langsung, ini akan membebankan harga emas untuk menyambung kejatuhannya pada hujung bulan ini.
Hari ini, para pelabur perlu memberi tumpuan yang tinggi pada laporan Indeks Sentimen Pengguna Michigan AS dan Jualan Rumah Sedia Ada. Tidak lupa juga ucapan oleh pegawai FOMC San Francisco, M Daly dan Lembaga Gabenor.