Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei baru-baru ini bertindak balas terhadap serangan udara Israel di tapak tentera Iran, menasihatkan pasukan tentera Iran agar berhati-hati dalam menghadapi serangan Israel, sambil menunjukkan bahawa Iran tetap kuat dan mampu bertindak balas.
Serangan itu, yang menyasarkan lokasi di Ilam, Khuzestan, dan berhampiran Tehran, mengakibatkan empat orang tentera Iran terkorban dan kerosakan terhad dilaporkan.
Khamenei menegaskan bahawa walaupun Iran tidak boleh membesar-besarkan kesan serangan itu, ia juga tidak boleh memandang rendah terhadap cabaran yang dibuat Israel, menandakan keperluan untuk berwaspada terhadap apa yang disifatkannya sebagai “salah perhitungan” oleh negara haram Israel.
Sebelum serangan tersebut dilancarkan, Khamenei telah mengarahkan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) untuk menyediakan rancangan ketenteraan untuk kemungkinan tindakan balas.
Menurut pegawai IRGC, jika serangan Israel mendatangkan kerosakan teruk, Iran bersedia untuk melancarkan sehingga 1,000 peluru berpandu balistik di tapak kritikal Israel, termasuk infrastruktur minyak dan nuklear.
Jika serangan adalah terhad, tindak balas mungkin lebih terkawal. Iran telah memperkukuh pertahanan udara di sekitar tapak ketenteraan dan nuklear, kekal dalam keadaan berjaga-jaga ketika mengatur langkah seterusnya.
Kepimpinan Iran menyampaikan pendirian yang tegas bahawa sebarang peningkatan ketegangan akan dibalas dengan tindakan tegas untuk menegaskan kekuatan dan ketahanan Iran.