US dolar mula menunjukkan corak penyusutan pada dagangan Khamis semalam selepas paparkan pengukuhan pada hari sebelumnya ketika reaksi data inflasi pengguna (CPI) Amerika Syarikat (AS) diterbitkan pada angka yang menurun.
Data inflasi pengeluar (PPI) AS diterbitkan pula pada sesi New York semalam hadir dengan bacaan yang positif bagi laporan Ogos, namun gagal untuk membendung penyusutan US dolar itu.
Penganalisis menjangkakan situasi boleh berterusan sehingga awal minggu hadapan menjelang mesyuarat FOMC September yang bakal menyaksikan pemotongan kadar faedah pertama oleh Federal Reserve (Fed) dalam tempoh 3 tahun.
Selain itu, tumpuan pasaran semalam turut terarah kepada keputusan mesyuarat polisi bank pusat Eropah (ECB) yang menepati ramalan untuk menurunkan kadar pembiayaan semula (refinancing rate) sebanyak 60 mata asas dari paras 4.25% sebelum ini kepada 3.65%.
ECB juga menurunkan kadar deposit (deposit rate) kepada 3.5% seperti yang dijangkakan.
Namun, mata wang Euro tidak menunjukkan penyusutan nilai, sebaliknya mengukuh selepas kadar diumumkan.
Ini adalah disebabkan oleh petunjuk yang disampaikan oleh Presiden ECB Christine Lagarde yang mengurangkan jangkaan terhadap pemotongan lanjut kadar faedah pada bulan hadapan.
Berbeza berbanding isyarat dovish sebelum ini, bank pusat memutuskan untuk menilai dahulu data ekonomi terbaru selepas ini untuk menentukan langkah polisi seterusnya.
Perubahan terhadap jangkaan langkah bank pusat itu telah memberi kesan kepada pergerakan mata wang, menyaksikan Euro memulih dari kejatuhan sejak awal minggu ini.
Untuk penutup dagangan sesi terakhir minggu ini, tinjauan keyakinan pengguna AS akan diperhatikan yang turut boleh mempengaruhi pergerakan US dolar.