Kerajaan Malaysia memperkenalkan program Kecerdasan Buatan (AI) Untuk Rakyat yang mampu merapatkan jurang literasi digital dan pemahaman AI dalam masyarakat.
Program tersebut adalah hasil kerjasama Intel Malaysia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Universiti Putra Malaysia hari ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata program AI Untuk Rakyat ini adalah inisiatif kerajaan bagi menyediakan pemahaman asas mengenai teknologi AI dan membuka peluang memperdalam pengetahuan teknologi dalam dunia digital.
Katanya lagi, program ini akan memberikan gambaran asas kepada golongan pelajar tentang dunia AI yang bertujuan untuk menarik minat mereka menceburi dan seterusnya membina kerjaya dalam sektor tersebut.
Bagi golongan lain pula, program ini dapat memberikan fahaman secara asas tentang AI agar kita lebih faham berkenaan teknologi yang akan membawa manfaat besar kepada kita sebagai individu.
Jelasnya, Malaysia mampu membina ekonomi digital yang kalis masa hadapan dan membolehkan negara menjana nilai yang lebih tinggi di persada dunia.
Sementara itu, Pengarah Urusan Intel Malaysia, AK Chong berkata AI bukan hanya keajaiban teknologi tetapi ia juga pemacu kritikal bagi sesebuah ekonomi.
AI juga dapat menghubungkan setiap individu kepada dunia yang penuh dengan peluang tanpa mengira latar belakang atau keadaan. Fokus utama program adalah untuk memperkasakan rakyat Malaysia dengan pengetahuan, kemahiran dan peralatan bagi mencapai kejayaan dalam era digital.
AI Untuk Rakyat merupakan sebuah program pembelajaran kendiri dalam talian yang direka untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran orang ramai tentang AI.
Ia boleh dicapai oleh semua pada bila-bila masa sahaja. Pengalaman pembelajaran yang menarik dan interaktif disediakan melalui dua bahagian iaitu AI Aware dan AI Appreciate.
AI Aware bertujuan bagi memperkenalkan dan membincangkan kes-kes penggunaan AI serta memperjelas kekeliruan umum mengenai AI.
Manakala AI Appreciate mengupas lebih lanjut tentang aplikasi dan impak AI merentas industri serta menyasarkan mereka yang ingin meningkatkan pengetahuan tentang AI.