Pasaran memberi tumpuan kepada laporan minit mesyuarat FOMC Januari yang diterbitkan pada awal pagi tadi untuk meneliti butiran lebih terperinci berkenaan dasar monetari Federal Reserve (Fed) yang akan datang.
Ahli FOMC mencadangkan bahawa kadar faedah semasa telah berada di paras kemuncak dan pasaran menantikan waktu untuk perubahan pada dasar bank pusat untuk terjadi.
Pengerusi Fed Jerome Powell pada mesyuarat tempoh hari melihat langkah pemotongan kadar faedah tidak akan berlaku pada Mac.
Jelas beliau lagi, jika pasaran buruh semakin melemah, itu boleh menjadi faktor langkah tersebut dilakukan lebih cepat.
Dengan bacaan inflasi dan pekerjaan yang memberangsangkan sebelum ini, pelabur melihat pelonggaran dasar monetari oleh bank pusat akan ditangguhkan buat seketika.
Berikutan Mac tidak menjadi pilihan, pelabur juga mula menilai sama ada Mei akan menjadi waktu yang sesuai untuk pelonggaran dasar dimulakan.
Terdapat pandangan bahawa Fed berkemungkinan akan melaksanan penurunan kadar pada Jun.
Seperti dijangkakan, US dolar tidak menerima impak yang begitu ketara susulan laporan minit yang diterbitkan.
Sedikit pengukuhan yang diperlihatkan pada awalnya, namun US dolar kembali bergerak suram menuju penutup dagangan sesi New York.
Data PMI pembuatan dan perkhidmatan untuk AS, Eropah beserta UK akan diberi tumpuan pada hari ini yang dilihat akan memacu pergerakan mata wang utama menuju penghujung minggu.