Ringgit susut semula pada hari ini selepas beberapa hari menunjukkan pergerakan memulih berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan para pelabur masih menantikan situasi pasaran berkenaan pemotongan kadar faedah di AS.
Tepat jam 9 pagi tadi, ringgit menjunam ke paras 4.6205 berbanding mata wang dolar AS daripada ia ditutup semalam pada paras 4.6035.
Menurut Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia, Mohd Afzanizam berkata bahawa pasaran kini masih menantikan data laporan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan dikeluarkan esok dan akan menguatkan jangkaan mengenai penurunan kadar pada 2024.
Katanya lagi, ringgit kini sudah berada pada situasi kenaikan yang mendadak dan akan berlakunya sedikit pembetulan teknikal dalam pasaran.
Indeks Dolar AS (DXY) naik kepada 102 mata walaupun Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) menunjukkan kelemahan pada Disember iaitu 47.9 mata berbanding anggaran konsensus sebanyak 48.2 mata.
Namun begitu, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama. Ringgit meningkat berbanding pound British dan euro tetapi susut nilai berbanding yen Jepun, mencecah 3.2550.
Selain itu, mata wang tempatan juga dibuka rendah berbanding beberapa mata wang Asean lain. Ringgit jatuh berbanding dolar Singapura dan baht Thailand, diniagakan rendah kedua-duanya pada 3.4840 dan 13.4913.
Namun, ringgit dilihat agak kukuh sedikit berbanding rupiah Indonesia dan peso Filipina berbanding pada pembukaan dagangan awal pagi tadi.