Dengan ketiadaan data-data utama diterbitkan pada awal minggu semalam, US dolar dilihat masih bergerak kukuh meneruskan momentum pada penutup dagangan minggu lalu.
US dolar memulakan pengukuhan nilainya pada sesi terakhir minggu lalu setelah pasaran menghadam komponen-komponen laporan pekerjaan NFP Amerika Syarikat (AS) bagi bulan Ogos.
Bacaan keseluruhan yang agak baik dilihat mengurangkan jangkaan untuk Federal Reserve (Fed) bergerak agresif dalam melaksanakan pelonggaran dasar monetari mereka.
Majoriti pasaran menjangkakan langkah pemotongan kadar faedah akan berlaku, namun berkemungkinan pada jumlah yang kecil sebanyak 25 mata asas sahaja.
Petunjuk penting minggu ini buat pasaran adalah terhadap data inflasi AS yang akan menjadi indikator utama oleh Fed untuk penetapan polisi pada mesyuarat terbaru.
US dolar kukuh berbanding beberapa mata wang utama yang lain, pulih untuk kali pertama selepas 5 sesi berbanding Yen, dan meningkat untuk hari kedua berbanding Euro dan Pound.
Namun situasi berkemungkinan boleh berubah berdasarkan angka inflasi AS yang bakal diterbitkan nanti.
Sementara, Pound bakal didagangkan berisiko menjelang terbitan laporan pekerjaan UK pada sesi Eropah hari ini (Selasa) dan data pertumbuhan ekonomi UK pada Rabu.
Sementara Euro dilihat sudah mengalami tekanan awal ketika jangkaan bahawa European Central Bank (ECB) bakal menurunkan kadar faedah sebanyak 60 mata asas pada mesyuarat polisi Khamis ini.