Pergerakan suram pasaran di pembukaan awal minggu semalam menyaksikan US dolar bergerak mendatar ketika ketiadaan data-data ekonomi utama untuk memacu pergerakan harga.
Pelabur masih berwaspada menantikan terbitan data-data terbaru sebagai petunjuk terhadap kebarangkalian pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) pada mesyuarat September nanti.
Tumpuan pada sesi New York malam nanti adalah kepada data indeks harga pengeluar (PPI) Amerika Syarikat (AS) yang mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan di peringkat pengeluar.
Data ini akan memberi bayangan awal terhadap data tumpuan utama minggu pada Rabu iaitu inflasi pengguna (CPI) yang menjadi indikator utama kepada Fed untuk keputusan dasar monetari mereka.
Sentimen pasaran kekal tak menentu yang membawa kebimbangan dari minggu lepas terhadap risiko kemelesetan ekonomi global, namun pelabur lebih bertenang selepas menyaksikan pemulihan pada pasaran saham semula.
Di sesi Eropah petang ini, pelabur akan meneliti laporan pekerjaan UK yang bakal pengaruhi pergerakan mata wang Pound dalam pasaran.
Laporan tersebut akan turut menjadi tumpuan bank pusat untuk penetapan dasar monetari selanjutnya selepas memutuskan untuk menurunkan kadar faedah pada mesyuarat sebelum ini.
Mata wang utama lain dalam pasaran akan mengikuti rentak pergerakan US dolar menjelang data penting yang bakal diterbitkan.
Sementara Yen kekal suram selepas kehilangan momentum pengukuhannya pada minggu lalu dengan kebimbangan kekal terarah kepada kemerosotan pasaran saham Jepun.