Pelabur mengambil langkah berhati-hati memulakan dagangan pembukaan awal minggu ini menjelang beberapa mesyuarat polisi monetari bank-bank pusat utama.
Bakal menjadi tumpuan seluruh mata dalam pasaran adalah mesyuarat FOMC pada awal pagi Khamis nanti untuk mengetahui petunjuk lebih jelas berkenaan langkah pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed).
Namun terlebih dahulu pelabur akan memberi tumpuan hari ini kepada keputusan mesyuarat polisi Bank of Japan (BOJ) dan Reserve Bank of Australia (RBA), kedua-duanya di sesi Asia.
Masing-masing dijangka untuk mengekalkan kadar faedah pada -0.10% dan 4.35% dengan ucapan susulan oleh gabenor akan menjadi pemacu arah pergerakan mata wang Yen dan dolar Aussie.
Pelabur turut nantikan sama ada BOJ akan memberi isyarat untuk menamatkan polisi kadar negatif mereka sebagai langkah peralihan dasar.
Mata wang Yen berkemungkinan berisiko didagangkan pada sesi Asia pagi ini.
Sementara, US dolar pula dilihat masih mengekalkan pengukuhan semalam menyusuli prestasi baik pada minggu lalu, namun momentum diperhatikan dalam keadaan berjaga-jaga.
Justeru, tekanan terus dirasai oleh mata wang utama yang lain di awal minggu namun situasi boleh dijangka berubah menyusuri dagangan sehingga ke penghujung minggu ini ketika data-data ekonomi diterbitkan dan keputusan mesyuarat polisi diumumkan.
Perkembangan pasaran komoditi, harga minyak mentah bagi kedua-dua penanda aras WTI dan Brent terus mengekalkan kecemerlangan di awal minggu dengan peningkatan harga yang berterusan.
Minyak WTI AS telah mencapai paras harga $82.45 setong manakala minyak Brent pula pada ketinggian $86.60.
Sementara, harga emas kekal pamerkan pergerakan mendatar di atas zon harga $2,145 ketika pelabur berwaspada menantikan petunjuk lebih jelas dalam pasaran minggu ini yang boleh pengaruhi dagangan logam kuning itu.