Dalam suasana pasaran tidak menentu, US dolar pamerkan prestasi baik pada pembukaan awal minggu ini untuk memulih dari kejatuhan pada penutupan penghujung minggu lalu.
Penganalisis memberi amaran volum pasaran yang semakin menguncup menjelang cuti perayaan krismas akan mendorong faktor volatiliti tinggi yang boleh merisikokan dagangan para pelabur.
Data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan di sesi New York semalam dilihat suram, menghadkan lanjutan pengukuhan US dolar dari sesi sebelumnya.
Data pesanan barangan tahan lama AS menurun 1.1% pada November kepada $285 bilion, lebih rendah berbanding angka ramalan.
Sementara itu, tinjauan keyakinan pengguna AS turut hadir dengan angka yang lebih suram berbanding jangkaan iaitu pada 104.7 mata berbanding 112.9.
Angka jualan rumah baharu di AS pula meningkat kepada 664,000 pada November berhampiran jangkaan, berbanding bulan sebelumnya yang dikemas kini meningkat kepada 627,000.
Indeks dolar (DXY) kekal di daerah zon 108.00 mata walaupun menunjukkan sedikit corak penyusutan.
Manakala hasil perbendaharaan 10-tahun AS pula kekal bullish mencapai ketinggian pada 4.60%, memberi isyarat sokongan terhadap prestasi positif US dolar untuk waktu terdekat.
Pelabur perlu berhati-hati dengan kekurangan petunjuk baharu menuju ke penghujung minggu ini dengan kebanyakan bank-bank utama juga menutup operasi pada musim perayaan ini.
Dolar Kanada paparkan pengukuhan di sesi New York semalam apabila diterbitkan data pertumbuhan ekonomi yang mencatatkan peningkatan 0.3% untuk bulan Oktober, mengatasi ramalan angka untuk kekal pada 0.2%.