Peruntukan RM22.5 juta untuk membaiki jalan di Kelantan adalah kos penilaian awal yang tidak mengambil kira gelombang kedua dan seterusnya banjir di negeri itu.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata peruntukan juga hanya membabitkan kos kerosakan infrastruktur jalan di Kelantan saja tidak termasuk infrastruktur lain merangkumi bangunan, jambatan dan cerun.
KKR juga belum menilai kerosakan jalan di beberapa lagi negeri yang juga dilanda banjir seperti Terengganu dan Kedah.
Katanya lagi, Jabatan Kerja Raya (JKR) cawangan setiap negeri terjejas banjir diarahkan supaya mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) di negeri masing-masing sebagaimana BiGBen yang diaktifkan di peringkat JKR ibu pejabat.
Ahmad menjelaskan pasukan gerak kerja atau ‘task force’ khas ketika bencana JKR negeri-negeri sudah diaktifkan sebagaimana BiGBen di ibu pejabat.
BiGBen di ibu pejabat yang beroperasi 24 jam sehari tujuh hari seminggu dengan enam pelaporan termasuk jalan yang kena banjir, tebing runtuh, jambatan rosak dan tanah mendap.
Menurutnya, pasukan itu dikehendaki melaksanakan tugas di samping membuat pemakluman awal untuk memastikan sebarang perkara yang berlaku seperti kepada infrastruktur.
Sementara itu, Ahmad berkata secara keseluruhan projek pembangunan di bawah seliaan JKR Perak adalah sebanyak 157 projek dengan nilaian RM5.94 bilion yang meliputi fasa perancangan, reka bentuk, pembinaan dan siap dengan tidak termasuk program-program penyelenggaraan jalan dan bangunan. – BH Online