Berlegar di paras terendah 7 bulan, US dolar terus alami penyusutan ke paras lebih rendah pada Selasa semalam dengan ketiadaan data-data ekonomi tumpuan yang boleh memacu pasaran.
Pasaran kekal dipengaruhi oleh jangkaan terhadap pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) pada mesyuarat September nanti dengan petunjuk terbaru akan diperhatikan pada ucapan Pengerusi Jerome Powell di simposium Jackson Hole minggu ini.
Pelabur inginkan jawapan terhadap persoalan jumlah kadar pemotongan kadar serta isyarat pelonggaran dasar pada mesyuarat seterusnya namun penganalisis tidak melihat Powell akan memberi butiran yang jelas terhadap persoalan tersebut.
Pun begitu, jangkaan untuk ucapan yang bernada dovish bakal disampaikan Powell itu terus menghukum US dolar mengalami kejatuhan berterusan.
Tempoh ini akan menjadi peluang keemasan bagi mata wang utama yang lain untuk paparkan peningkatan nilai sebelum situasi kembali berubah.
Kekurangan data ekonomi yang akan diterbitkan pada hari ini (Rabu) berkemungkinan mendorong pergerakan yang sama, menyaksikan US dolar kekal lemah.
Pada awal pagi Khamis, minit mesyuarat FOMC akan diteliti dan bakal mempengaruhi pergerakan US dolar dengan butiran lanjut pada laporan minit akan diperhatikan.
Selain itu, data PMI bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) bakal diterbitkan dan pasaran akan menilai tahap kesihatan semasa ekonomi tumpuan tersebut yang boleh mempengaruhi sentimen pasaran.
Perkembangan konflik Timur Tengah dan beberapa isu yang berlegar dalam pasaran perlu pelabur perhatikan dari masa ke masa.