Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS berikutan kelemahannya apabila data ekonomi AS terkini mengukuhkan jangkaan untuk penurunan kadar faedah di Amerika Syarikat.
Pada jam 10.30 pagi, ringgit berada pada harga 4.3160 iaitu naik setinggi 0.39% berbanding USD daripada ia ditutup pada 4.3330 pada penutup dagangan Khamis.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Afzanizam berkata Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.31% kepada 101.366.
Pasaran dijangka akan alami satu pergerakan ketara menjelang pemotongan kadar AS pada minggu hadapan.
Katanya lagi, beliau menjangkakan ringgit akan disokong dengan baik berikutan kemungkinan pelonggaran monetari apabila pegawai FOMC akan memutuskan keputusannya pada mesyuarat 17 hingga 18 September.
Sementara itu, ringgit didagangkan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.
Ia turun berbanding euro kepada 4.7973/4.8056 daripada 4.7724/4.7768 pada penutup Khamis, jatuh berbanding pound Britain kepada 5.6864/5.6962 daripada 5.6550/5.6602 dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.0609/3.0666 daripada 3.0364/3.0395.
Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean.
Ia susut berbanding baht Thailand kepada 12.9640/12.9931 daripada 12.8351/12.8527 dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3291/3.3351 daripada 3.3190/3.3224 semalam.
Ia lebih tinggi sedikit berbanding rupiah Indonesia pada 280.4/281.1 daripada 280.6/281.0 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.71/7.73.