Ringgit mengekalkan momentum meningkat berbanding dolar AS semasa memulakan urus niaga Rabu selepas berjaya menembusi paras sokongan RM4.14 untuk kali pertama sejak November 2021.
Dorongan positif itu disumbangkan oleh data ekonomi tempatan yang lebih baik berbanding jangkaan dan penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
Pada jam 9.55 pagi, ringgit berada pada paras 4.1200 iaitu kukuh setinggi 0.72% berbanding dolar AS daripada ia ditutup pada 4.1550 hari Selasa.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Afzanizam berkata Indeks Keyakinan Pengguna Lembaga Persidangan AS susut melebihi jangkaan kepada 98.7 mata dan mendorong pelabur berhati-hati dengan prospek ekonomi masa depan.
Oleh itu, Indeks Dolar AS (DXY) menyusut 0.49% kepada 100.360 mata dan ringgit berpotensi kekal positif berikutan penurunan kadar faedah selanjutnya di Amerika Syarikat.
Buat masa ini, ringgit rendah berbanding kumpulan mata wang utama.
Ia susut berbanding euro kepada 4.6427/6550 daripada 4.6274/6335 semasa ditutup pada Selasa, berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.5704/5852 daripada 5.5590/5663 dan rendah berbanding yen Jepun kepada 2.9002/9083 daripada 2.8796/8836.
Ia juga didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang Asean.
Ringgit mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 273.1/274.0 daripada 273.5/274.0 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.37/7.40 daripada 7.39/7.40 semasa ditutup pada Selasa.
Bagaimanapun, mata wang tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2348/2437 daripada 3.2244/2289 dan berkurangan kepada 12.7184/7607 daripada 12.6426/6640 berbanding baht Thailand. – Bernama