Hari ini, Ringgit Malaysia (RM) mengukuh tidak ketara pada awal dagangan walaupun dolar AS mendapat tarikan sementara pasaran di saat menunggu data lengkap Indeks Harga Pengguna (CPI) yang akan diumumkan pada Khamis ini.
Tepat jam 10.40 pagi, ringgit berada pada paras 4.6420 berbanding dolar AS daripada ia ditutup di paras 4.6488 semalam.
Menurut Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia, Afzanizam Rashid berkata bahawa Indeks Dolar AS (DXY) kini berlegar-legar sekitar 102.523 mata. Ia lebih tinggi daripada paras pembukaan Januari 2024 iaitu 101.333 mata.
Ini menunjukkan bahawa jangkaan pasaran untuk penurunan kadar lebih awal akan berkurangan.
Katanya lagi, data-data ekonomi AS yang terkini agak bercampur-campur di mana laporan NFP naik lebih tinggi iaitu pada 216,000 pada bulan Disember berbanding 173,000 pada bulan sebelumnya. Manakala, Indeks ISM AS untuk sektor perkhidmatan jatuh kepada 50.6 mata daripada 52.7 mata sebelum ini.
Jika dilihat secara keseluruhan, jangkaan akan berlakunya pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) sangat jelas kerana ia dapat membantu ekonomi dan memastikan ‘soft landing’ dapat dicapai.
Afzanizam menjangkakan ringgit akan bergerak rapat sekitar RM4.64 hingga RM4.65 buat masa ini kerana situasi pasaran akan terus memperhatikan data-data penting pada minggu ini.
Sementara itu, ringgit didagangkan rendah berbanding beberapa kumpulan mata wang utama dunia. Ia melemah berbanding euro pada paras 5.0819 dan merosot juga berbanding pound Britain kepada 5.9100. Namun, ia sedikit kukuh berbanding yen Jepun kepada 3.2165 daripada ditutup semalam.
Ringgit juga didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang Asean lain. Ia mengukuh sedikit berbanding baht Thailand kepada 13.2718 dan naik sedikit berbanding peso Filipina kepada 8.27 daripada semalam.
Namun, mata wang tempatan itu turut merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.4925 dan merendah juga berbanding rupiah Indonesia kepada 299.5 buat masa ini.