Ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS didorong oleh penurunan pada Indeks Dolar (DXY) ekoran para pelabur menjangkakan potensi pemotongan kadar faedah Federal Reserve (Fed) semakin menghampiri.
Pada jam 10.20 pagi, ringgit berada pada posisi 4.3750 berbanding USD daripada ia ditutup pada 4.3780 semasa penutupan dagangan Selasa.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Afzanizam berkata indeks DXY jatuh kepada 101.441 iaitu tempoh terendah dalam tujuh bulan diikuti kumpulan mata wang utama lain untuk terus kukuh.
Katanya lagi, ringgit dijangka disokong baik hari ini berikutan prospek penurunan kadar faedah di AS akan mengakibatkan pengecilan jarak kadar dana Fed dan OPR Malaysia.
Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia lemah berbanding yen Jepun kepada 3.0103/3.0164 daripada 2.9917/2.9967 pada penutupan Selasa, susut berbanding euro kepada 4.8686/4.8781 daripada 4.8491/4.8568 dan susut nilai berbanding pound British kepada 5.7026/5.7137 daripada 5.6927/5.7018 sebelum ini.
Selain itu, ringgit menunjukkan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang Asean.
Ia naik sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 283.4/284.1 daripada 283.5/284.2 semalam dan naik berbanding peso Filipina pada 7.73/7.75 daripada 7.74/7.75 sebelumnya.
Bagaimanapun, ringgit jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3536/3.3604 daripada 3.3466/3.3522 pada penutup Selasa dan susut berbanding baht Thailand kepada 12.8085/12.8412 daripada 12.7982/12.8254 semalam.