Ringgit menyambung aliran melemahnya sejak semalam berbanding dolar AS walaupun sentimen pasaran berhati-hati menjelang pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan dan mesyuarat FOMC.
Pada jam 10.15 pagi, ringgit berada pada paras 4.3600 iaitu susut 0.09% berbanding USD daripada ia ditutup pada 4.3759 di dagangan semalam.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Afzanizam Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) kekal tinggi pada 104.316 mata kerana pasaran menunggu keputusan kedua-dua acara penting pada minggu depan iaitu pilihan raya presiden dan mesyuarat FOMC.
Buat masa ini, peserta pasaran berkemungkinan akan memihak kepada dolar AS dan ringgit dijangka kekal lemah.
Walau bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding sekumpulan mata wang utama pagi ini.
Ia menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 2.8471/2.8515, berbanding 2.8521/2.8545 pada penutup Isnin, meningkat berbanding pound British kepada 5.6549/5.6634 daripada 5.6564/5.6610 dan meningkat berbanding euro kepada 4.7145/4.7215 daripada 4.7159/4.7197 sebelumnya.
Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean.
Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2955/3.3007 daripada 3.2979/3.3008 pada penutup pada Isnin dan tinggi sedikit berbanding rupiah Indonesia pada 277.1/277.6 meningkat daripada 277.2/277.6 sebelumnya.
Mata wang tempatan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.48/7.49 tidak berubah daripada penutup sebelumnya dan susut berbanding baht Thailand kepada 12.9015/12.9303 daripada 12.8780/12.88933. – Bernama