Kini, tentera Israel akan memperluaskan peperangan mereka merangkumi wilayah berhampiran sempadan utara negara itu di Lubnan.
Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant berkata tentera mereka yang berhampiran sempadan Semenanjung Gaza sedang dikerahkan ke utara Israel.
Mereka menjangkakan kumpulan di Lubnan itu akan bertindak tidak lama lagi dan Israel perlu bersedia.
Katanya lagi, pasukan simpanan akan dilepaskan secara beransur-ansur bagi persediaan untuk menghadapi operasi masa depan.
Sejak terjadinya perang Israel-Hamas pada 7 Oktober lalu, sempadan Israel dan Lubnan menyaksikan pertempuran hampir setiap hari antara tentera Israel dan gerakan Hizbullah yang disokong Iran.
Hizbullah mengaku bertanggungjawab ke atas sekurang-kurangnya 12 serangan di sempadan dengan menggunakan peluru berpandu Falaq-1 dan Burkan buatan Iran.
Semalam, Israel telah melancarkan serangan udara ke atas sasaran Hizbullah di Lubnan termasuk infrastruktur Hizbullah dan pos pemerhatian yang terletak di kawasan Markaba, Taybeh dan Maroun al-Ras.
Ketua tentera Israel, Herzi Halevi berkata pada awal bulan ini berkemungkinan tercetusnya perang di sempadan utara dalam satu skala besar.
Lebih 200 orang tentera Hizbullah dan orang awam yang terbunuh di selatan Lubnan akibat tembakan Israel.
Di sempadan Israel, sembilan askar dan enam orang awam terbunuh.