US dolar dilihat berjaya mempertahankan kedudukannya di penghujung minggu lalu apabila memaparkan pengukuhan semula pada dagangan sesi-sesi terakhir.
Data pesanan barangan tahan lama Amerika Syarikat (AS) catat angka yang lebih baik untuk September berbanding bulan sebelumnya, begitu juga tinjauan pengguna oleh Universiti Michigan yang dikemas kini kepada angka yang meningkat.
US dolar kembali pamer peningkatan nilainya semula untuk meneruskan prestasi cemerlang yang telah dicatatkan selama 4 minggu berturut-turut.
Tumpuan akan terarah kepada beberapa data ekonomi penting pada minggu ini yang akan turut menjadi perhatian buat Federal Reserve (Fed).
Data-data pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi AS akan mempengaruhi penilaian terhadap hala tuju dasar monetari Fed untuk baki mesyuarat di penghujung 2024 ini.
Indeks dolar (DXY) telah kembali pamerkan peningkatan semula ke paras 104.50 mata untuk mengatasi ketinggian dicapai sebelum ini sekitar 104.57.
Sementara, hasil perbendaharaan 10-tahun AS telah memuncak ke ketinggian 4.28%, lebih tinggi dari yang dicapai minggu lepas di paras 4.26%.
Penganalisis menjangkakan pergerakan pasaran di awal minggu ini berkemungkinan perlahan, namun akan memihak kepada US dolar yang cenderung untuk melanjutkan pengukuhannya.
Risiko buat pelabur juga semakin meningkat dengan ketidaktentuan dagangan di penutup bulan selain dihiasi oleh data-data berimpak tinggi sepanjang minggu ini.