Semakin jelas pergerakan US dolar pada landasannya apabila pelabur menyaksikan corak kejatuhan raja mata wang itu berterusan lagi pada dagangan Selasa semalam.
Tambahan, data ekonomi Amerika Syarikat (AS) diterbitkan dengan angka yang merosot, iaitu bacaan bagi tinjauan keyakinan pengguna mencatatkan penurunan mata di bawah paras 100.
Menyusuli data PMI AS pada Isnin yang turut ‘merah’, tekanan semakin dirasai buat US dolar seperti yang telah dijangkakan oleh penganalisis setelah Federal Reserve (Fed) melaksanakan pemotongan kadar faedah pertamanya dalam tempoh lebih 4 tahun.
Walaupun Fed tidak menyatakan dengan jelas berkenaan langkah pelonggaran dasar yang selanjutnya, namun pasaran melihat bakal ada beberapa lagi pemotongan kadar faedah pada baki mesyuarat di penghujung 2024 ini.
Indek dolar (DXY) menunjukkan penurunan ke bawah paras 100.00 mata, menjangkakan kejatuhan nilai US dolar bakal berterusan.
Namun situasi seterusnya akan dipengaruhi oleh data tumpuan berikutnya pada Khamis iaitu bacaan akhir bagi pertumbuhan ekonomi AS suku kedua.
Bacaan kedua (preliminary) yang telah diterbitkan pada bulan lalu menunjukkan sedikit peningkatan ke paras 3.0%, sementara untuk bacaan akhir (final) ini dijangka kekal tidak berubah di paras tersebut.
Juga akan dinantikan pelabur pada Khamis adalah ucapan Pengerusi Fed Jerome Powell pada acara persidangan di New York untuk mendapatkan petunjuk terbaru berkenaan dasar monetari.
Dan di penghujung minggu, data indeks harga PCE akan menjadi tumpuan pasaran di mana turut diperhatikan oleh Fed untuk menilai komponen inflasi tersebut.