US dolar melanjutkan persembahan dagangan yang lemahnya pada Khamis semalam ketika pasaran Amerika Syarikat (AS) ditutup sempena cuti umum di sana.
Penelitian terhadap data-data ekonomi AS terbaru dilihat menjurus kepada risiko dan menghidupkan kembali jangkaan untuk langkah pemotongan kadar faedah dilaksanakan oleh Federal Reserve (Fed).
Pada sesi New York hari ini, tumpuan sepenuhnya akan terarah kepada laporan data pekerjaan NFP AS untuk menilai perkembangan sektor buruh pada bulan Jun.
Pelabur bersedia dengan jangkaan bacaan komponen data yang suram selepas mendapat isyarat awal pada data ADP yang mencatatkan pertambahan pekerjaan swasta yang lemah.
Jika laporan NFP merosot menyusuli penurunan pada inflasi AS sebelum ini, Fed bakal ditekan untuk beralih kepada pelonggaran dasar monetari mereka.
Menurut Pengerusi Fed Jerome Powell pada mesyuarat Jun lalu, bank pusat masih perlu menilai data-data terbaru sebelum benar-benar yakin untuk melaksanakan pemotongan kadar faedah pada waktu yang tepat.
Antara lain yang menjadi tumpuan semalam adalah acara pilihan raya UK 2024 yang menjangkakan pemimpin Parti Buruh, Keir Starmer bakal memenangi undian dengan majoriti besar.
Mata wang Pound tidak menunjukkan pergerakan yang signifikan pada perkembangan acara tersebut berlangsung semalam dengan hanya mendatar sahaja.
Yen menjadi antara mata wang yang sedang diperhatikan pelabur apabila corak perubahan harga mula dipaparkan minggu ini ketika jangkaan situasi campur tangan pihak berkuasa Jepun akan berlaku pada bila-bila masa sahaja.
Mata wang utama lain akan menantikan reaksi US dolar ketika laporan data NFP diterbitkan malam nanti yang bakal memberi impak besar dalam pasaran.