US dolar kembali alami penyusutan pada dagangan Rabu semalam ketika data komponen pekerjaan yang diterbitkan menambahkan kebimbangan baharu terhadap ekonomi Amerika Syarikat (AS).
Data JOLTS mencatatkan jumlah tawaran pekerjaan yang dibuka di AS pada Julai dengan angka yang lebih rendah berbanding ramalan iaitu sebanyak 7.67 juta, bacaan terendah sejak April 2021.
Peratusan untuk pemotongan kadar faedah lebih agresif oleh Federal Reserve (Fed) kembali meningkat semula dengan jangkaan 50 mata asas meningkat kepada 45%, sementara 55% jangkaan untuk pemotongan 25 mata asas menurut indikator CME FedWatch.
Kebimbangan yang sedang menyelubungi pasaran global yang dilihat mengekalkan sentimen berisiko, menyokong dagangan safe-haven seperti mata wang Yen untuk mengukuh.
Gelora buat dagangan US dolar dijangka berterusan hingga ke penghujung minggu dengan tumpuan pada sesi New York malam ini akan terarah kepada data pekerjaan ADP dan juga tinjauan ISM bagi sektor perkhidmatan AS.
Seterusnya, laporan pekerjaan NFP akan menjadi kompas utama buat Fed pada Jumaat yang dijangka bakal pengaruhi keputusan penetapan dasar monetari pada mesyuarat September.
Antara lain menjadi tumpuan semalam adalah keputusan mesyuarat polisi bank pusat Kanada yang menepati ramalan untuk menurunkan kadar faedah kali ketiga berturut-turut.
Pemotongan sebanyak 25 mata asas lagi pada kadar faedah terbaru ke paras 4.25% ketika ekonomi Kanada terus menunjukkan trend penurunan inflasi.
Namun pada sesi New York semalam, dolar Kanada dilihat didagangkan kukuh berbanding US dolar yang sedang mengalami tekanan.