US dolar dilihat masih lagi mengekalkan dagangannya kukuh berbanding kebanyakan mata wang utama, namun peningkatan nilai dilihat terhad.
Ini didorong oleh indeks dolar (DXY) yang mula mendatar di paras 103.300 mata sementara hasil perbendaharaan 10-tahun Amerika Syarikat (AS) mula menunjukkan penyusutan ke sekitar 4.03%.
Tiada perubahan pada faktor yang memacu pergerakan US dolar sejak dari minggu lepas di mana jangkaan terhadap Federal Reserve (Fed) untuk mengambil pendekatan yang lebih sederhana dalam pelonggaran dasar monetari yang bakal diteruskan.
US dolar bergerak sedikit lemah pada sesi Eropah semalam sebelum kembali paparkan pengukuhan di sesi New York.
Sementara mata wang Euro terus ditekan menjelang keputusan mesyuarat polisi European Central Bank (ECB) yang dijangka menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada Khamis ini.
Pound berjaya paparkan peningkatan nilai pada sesi Eropah semalam susulan laporan pekerjaan UK yang diterbitkan menunjukkan penurunan pada kadar pengangguran pada bulan Ogos.
Bakal mempengaruhi Pound pada hari ini pula (Rabu) adalah data inflasi UK yang akan diterbitkan di awal sesi Eropah sebentar lagi.
Dolar Kanada memuncak ke paras tertinggi 10 minggu berbanding US dolar selepas data inflasi Kanada diterbitkan di awal sesi New York semalam.
Inflasi Kanada jatuh lebih rendah ke paras 1.6% untuk September dari paras 2% bulan sebelumnya, mencatatkan kadar inflasi terendah sejak Februari 2021.
Situasi ini akan mendesak bank pusat Kanada untuk meneruskan langkah pelonggaran dasar monetari mereka setelah 3 mesyuarat berturut-turut kadar faedah diturunkan.
Namun dolar Kanada kembali pamerkan pengukuhan menuju dagangan ke penghujung sesi New York. Penganalisis memberi amaran untuk berwaspada dengan aktiviti pengambilan untung (profit taking) bagi Loonie yang telah meningkat 10 hari berturut-turut.