US dolar akhiri dagangan penghujung minggu lalu dengan prestasi hambar walaupun bermula dengan baik pada awal minggu.
Di sesi terakhir dagangan minggu lalu, data tinjauan pengguna Amerika Syarikat (AS) oleh Universiti Michigan catat angka yang lebih baik berbanding jangkaan.
Namun, data jualan rumah baru AS pada Disember meleset dari jangkaan, catatkan bacaan lebih rendah berbanding bulan sebelumnya.
Pun begitu, prestasi mingguan bagi US dolar dinilai baik berikutan unjuran terhadap langkah penurunan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) semakin rendah.
Situasi tersebut akan kekal berterusan jika data-data indikator bank pusat selepas ini terus diterbitkan meningkat.
Jika ekonomi AS dinilai positif berdasarkan data-data terbaru yang diterbitkan, justeru tiada keperluan untuk bank pusat menurunkan kadar faedah.
Sebaliknya, Fed akan bertindak untuk terus mengekalkan dasar sedia ada atau berkemungkinan untuk mengetatkan lagi dasar monetari jika perlu.
Minggu ini beberapa lagi data ekonomi AS akan diperhatikan bagi petunjuk selanjutnya termasuk PMI pembuatan dan perkhidmatan, bacaan awal pertumbuhan suku ke-4 2023 dan indeks harga PCE.
Selain itu, pelabur akan turut meneliti beberapa keputusan mesyuarat bank pusat pada minggu ini melibatkan Bank of Japan (BOJ), Bank of Canada (BOC) dan European Central Bank (ECB).
Kesemua bank pusat dijangka akan terus mengekalkan kadar faedah masing-masing tidak berubah seperti di paras sebelumnya.
Pergerakan mata wang utama minggu ini akan terus mengikuti rentak US dolar selain memberi reaksi terhadap data-data terbaru yang diterbitkan sepanjang minggu.
Perkembangan pasaran komoditi, harga minyak bagi kedua-dua penanda aras WTI dan Brent sedikit menurun pada penutupan dagangan minggu lalu selepas paparkan pemulihan dari pertengahan minggu.
Sementara dagangan emas pula dilihat sedikit melegakan para pelabur apabila harganya masih bertahan di atas zon $2,000. Harga berlegar di sekitar $2,030 pada pembukaan awal minggu ini.