Pasaran saham Amerika Syarikat (AS) berakhir dengan kukuh pada Selasa, dengan indeks utama mencecah hampir paras tertinggi dua minggu.
Momentum menaik ini sebahagian besarnya didorong oleh data inflasi pengeluar AS yang lebih rendah diterbitkan semalam, yang menguatkan jangkaan untuk kemungkinan penurunan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) pada September.
Indeks Harga Pengeluar (PPI) bagi Julai menunjukkan peningkatan yang lebih kecil daripada jangkaan, dengan kenaikan tahun ke tahun sebanyak 2.2%, turun daripada 2.7% pada bulan Jun.
Penurunan dalam inflasi ini mengukuhkan kepercayaan bahawa usaha Fed untuk mengawal inflasi telah berkesan, meningkatkan kemungkinan penurunan kadar dalam masa terdekat.
Perhatian pelabur kini tertumpu pada data indeks harga pengguna (CPI) untuk Julai yang dijadualkan untuk terbit malam ini (Rabu), dan angka jualan runcit AS pada Khamis.
Data-data ini penting dalam membentuk jangkaan pasaran untuk langkah seterusnya Fed.
Meneliti angka pada indeks utama, S&P 500 menokok 1.68% untuk ditutup pada 5,434.43 mata, manakala Nasdaq Composite melonjak 2.43% kepada 17,187.61 mata.
Purata Perindustrian Dow Jones juga menyaksikan kenaikan, meningkat 1.04% kepada 39,765.64 mata.
Sektor teknologi maklumat dan perdagangan adalah yang berprestasi tinggi, manakala saham tenaga merosot disebabkan oleh harga minyak yang lebih rendah.