Emas hadapi tekanan harga yang agak sengit berikutan Biro Perangkaan Buruh Amerika Syarikat (BLS) melaporkan data Indeks Harga Pengguna (CPI) untuk Februari meningkat sedikit berbanding ramalan pasaran pada sesi awal New York semalam (Selasa).
Data CPI yang mengukuh telah menurunkan jangkaan pasaran dalam pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) untuk mesyuarat Jun nanti. Ia juga turut mengheret nilai emas untuk menjunam jauh dari kemuncaknya.
Harga emas kini berada pada paras $2,158.02 iaitu naik sebanyak 0.03% sejak pembukaan dagangan Asia pagi tadi.
Laporan inflasi yang lebih ‘panas’ daripada jangkaan membawa kepada peningkatan dalam hasil bon terkini. Hasil Perbendaharaan AS 10 tahun melantun semula dengan kukuh kepada 4.15%.
Indeks Dolar (DXY) turut memaparkan peningkatan dengan naik ke paras 103.20 mata.
Indeks USD kini menembusi julat dagangan hari Isnin dengan menaik kerana data inflasi yang mengukuh dijangka membolehkan pembuat dasar Fed untuk tidak tergesa-gesa dalam melakukan pemotongan kadar faedah.
Dalam pasaran yang lebih meluas, laporan inflasi yang terbaru berpotensi meningkatkan daya tarikan terhadap dolar AS kerana ia akan membolehkan Fed mengekalkan kadar faedah lebih tinggi untuk tempoh yang lebih lama.
Pada minggu ini, pasaran akan menantikan laporan Indeks Harga Pengeluar (PPI) AS, jualan runcit dan tuntutan faedah pengangguran pada malam esok.