Dua agensi makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa berjuta-juta orang di seluruh dunia berisiko mengalami kebuluran, dengan kekurangan dana yang semakin memperburuk keadaan.
Menurut laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dan Program Makanan Dunia (WFP), peperangan dan keganasan menjadi punca utama masalah kekurangan makanan yang teruk di kebanyakan negara berisiko tinggi.
Antara negara yang paling terjejas adalah Palestin, Mali, Haiti, Sudan, Sudan Selatan dan Yaman yang berdepan risiko kebuluran besar-besaran dalam tempoh terdekat.
Negara lain yang berisiko termasuk Somalia, Afghanistan, Myanmar, Republik Demokratik Congo, Nigeria, Syria, Burkina Faso, Kenya, Chad serta pelarian Rohingya di Bangladesh.
Disebabkan kekurangan data, WFP terpaksa mengurangkan bantuan kepada pelarian dan mangsa perpindahan, serta menghentikan program makanan sekolah di beberapa negara.
Pengarah Eksekutif WFP, Cindy McCain menyatakan bahawa dunia kini berdepan bencana kebuluran besar yang sebenarnya boleh dielakkan.
Beliau turut menegaskan bahawa kegagalan bertindak segera hanya akan mengakibatkan lebih banyak ketidakstabilan, penghijrahan dan konflik.
Laporan itu juga memaklumkan bahawa bantuan kemanusiaan masih kekurangan dana, dengan hanya $10.5 bilion (RM43.3 bilion) diterima daripada $29 bilion (RM119.5 bilion) diperlukan untuk membantu negara-negara yang berisiko.
FAO memberi amaran bahawa melindungi sektor pertanian yang terjejas adalah amat penting untuk menstabilkan bekalan makanan dan mengelak krisis kebuluran berulang.
























































