Dilaporkan terdapat 2.4 juta beg beras tempatan bersubsidi seberat 10 kg akan tersedia di pasaran mulai 1 Mac, disasarkan kepada isi rumah miskin dan miskin tegar.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan, Datuk Badrul Hisham Mohd berkata ini menandakan permulaan program subsidi bersasar RM150 juta kerajaan untuk memastikan beras tempatan mampu milik untuk golongan sasaran.
Katanya lagi, beg tersebut ditanda dan dijejaki bagi memastikan hanya isi rumah yang disasarkan sahaja membeli beras tersebut.
Badrul Hisham turut menyebut mereka akan melancarkan jualan istimewa 10,000 beg beras putih tempatan bersubsidi 10 kg berharga RM26 di Kedah semasa majlis Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pada 27 Februari nanti.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dijangka melancarkan projek bernilai RM1 bilion untuk meningkatkan pengeluaran padi pada majlis itu. – The Star