Kecerdasan buatan (AI) bakal mengubah landskap pekerjaan di Malaysia, menjejaskan lebih 30% pekerjaan dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.
Industri utama seperti pembuatan, perkhidmatan dan teknologi maklumat akan mengalami transformasi besar, menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.
Kesan kehadiran AI yang bakal memberi impak kepada pelbagai industri, lebih 600,000 pekerja perlu dilatih semula dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang untuk kekal berdaya saing.
Selain itu, menjelang 2030, Malaysia akan memerlukan 500,000 lagi pekerja mahir untuk memenuhi permintaan industri.
Kerajaan mengambil langkah untuk memastikan program latihan adalah relevan dan sejajar dengan piawaian antarabangsa, meliputi bidang seperti keselamatan siber, pengurusan sistem pintar dan analisis data.
Bagi menyokong peralihan ini, Lembaga Juruteknologi Malaysia (MBOT) telah memperkenalkan Majlis Pembangunan Profesional Teknologi dan Teknikal (TPDC).
Inisiatif ini memastikan kualiti kursus latihan jangka pendek dan memperakui bahawa kemahiran yang diperolehi memenuhi keperluan industri.
Presiden MBOT, Profesor Emerita Datuk Dr. Siti Hamisah Tapsir, menekankan bahawa usaha ini selaras dengan dasar negara Malaysia untuk meningkatkan kecekapan dan profesionalisme tenaga kerja.
Melalui perkongsian dengan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp), kursus yang diperakui MBOT akan mendapat pengiktirafan, membantu pekerja kekal relevan dalam pasaran pekerjaan yang berkembang pesat.