Sebanyak 98% penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) telah menggunakan MyKad bagi membeli barangan keperluan asas dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM3.66 bilion.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan bahawa semua penerima SARA di Perlis, Sabah, Terengganu, Kelantan dan Kedah telah membuat pembelian keperluan asas melalui inisiatif berkenaan.
Amir Hamzah turut menyatakan bahawa bagi penghargaan SARA RM100, seramai lebih 18.3 juta rakyat atau 83% telah berbelanja dengan jumlah keseluruhan mencecah RM1.63 bilion.
Kenyataan itu disampaikan semasa beliau menghadiri majlis penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, semalam.
Sementara itu, kerajaan kekal komited untuk memastikan manfaat SARA bukan sahaja dinikmati oleh penerima bantuan, tetapi juga memberi sokongan kepada peniaga kecil, kedai runcit persendirian dan kedai koperasi.
Setakat 3 November 2025, kerajaan telah berjaya membabitkan lebih 8,700 rakan niaga SARA, termasuk sekitar 2,500 kedai runcit kecil di seluruh negara, iaitu peningkatan besar berbanding 700 rakan niaga SARA, termasuk 180 kedai runcit kecil pada tahun lalu.
Rangkaian ini merangkumi pasar raya, pasar mini, kedai koperasi serta kedai runcit kecil di kawasan bandar, luar bandar dan pendalaman bagi memastikan lebih ramai penerima mendapat akses yang mudah dan meluas kepada bantuan tersebut.























































