Simpanan patuh Syariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan sahaja menepati prinsip pendapatan bersih, malah menawarkan pulangan dividen yang kompetitif tanpa menjejaskan pencarum.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memaklumkan bahawa akaun simpanan Syariah, pencarum beragama Islam berpeluang untuk membersihkan pendapatan serta simpanan persaraan mereka.
Beliau turut menyatakan bahawa simpanan Syariah memberi pulangan optimum, justeru usaha mencari peluang pelaburan perlu dipertingkatkan, sama ada di pasaran domestik mahupun global.
Dr Mohd Afzanizam menjelaskan bahawa pulangan simpanan Syariah KWSP tahun lalu menunjukkan dividen yang kompetitif, justeru peralihan ke simpanan patuh Syariah tidak merugikan pencarum.
Beliau juga mengulas langkah yang diambil Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) semalam yang menjalin kerjasama strategik dengan KWSP bagi memperkukuh pemahaman masyarakat Islam negeri itu tentang pengurusan harta dan kewangan berlandaskan Syariah.
Kerjasama tersebut turut melibatkan usaha mempromosikan Akaun Simpanan Syariah KWSP serta menggalakkan umat Islam menyucikan harta mereka dengan membuat caruman ke dalam akaun patuh Syariah.
MAIS dilaporkan mengumpul RM2.7 juta Wang Tidak Patuh Syariah pada tahun lalu, menandakan bahawa masih terdapat ramai masyarakat di Selangor yang berurusan dengan sumber kewangan yang tidak selaras dengan prinsip Syariah.
Menurut Koordinator Pusat Keusahawanan Mahasiswa Akademi Pembangunan Perusahaan Kecil Sederhana dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mohamad Idham Md Razak, simpanan patuh Syariah KWSP memberikan kelebihan utama dari segi ketenangan jiwa dan keyakinan moral.
Pelaburan patuh Syariah dilakukan dalam instrumen dan sektor yang mematuhi garis panduan Syariah tanpa terlibat dengan unsur riba, gharar atau maisir, berbeza dengan pelaburan konvensional yang lain.

























































