Saham Amerika Syarikat (AS) jatuh mendadak selepas beberapa bank utama memberi amaran bahawa pasaran ekuiti berisiko mengalami kejatuhan, sekaligus mencerminkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap penilaian tinggi yang berterusan.
Ketiga-tiga indeks utama AS mencatatkan kemerosotan selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Morgan Stanley, Ted Pick dan CEO Goldman Sachs, David M. Solomon memberi amaran mengenai potensi gelembung pasaran, ketika indeks S&P 500 terus mencatat paras tertinggi baharu didorong oleh lonjakan minat pelabur terhadap sektor kecerdasan buatan (AI).
Indeks S&P 500 dan Nasdaq mencatatkan kejatuhan harian terbesar sejak 10 Oktober.
Purata indeks Dow Jones merosot 0.53% kepada 47,085.24 mata, S&P 500 merudum 1.17% kepada 6,771.55 mata, manakala Nasdaq yang berfokus kepada sektor teknologi menjunam 2.04% kepada 23,348.64 mata.
Sektor teknologi menjadi penyumbang utama kepada kejatuhan Nasdaq Composite apabila enam daripada tujuh saham terkemuka berkaitan AI dalam kumpulan ‘Magnificent Seven’ mencatatkan penurunan pada sesi dagangan tersebut.
Indeks Semikonduktor Philadelphia SE jatuh sebanyak 4.0%.
CEO JPMorgan Chase, Jamie Dimon bulan lalu menegaskan bahawa pasaran saham berkemungkinan mengalami risiko kejatuhan ketara dalam tempoh enam bulan hingga dua tahun akibat ketegangan geopolitik.
Dalam perkembangan lain, penutupan sebahagian kerajaan AS akibat kebuntuan di Kongres kini menghampiri rekod sebagai yang paling lama pernah berlaku.
Sementara itu, kekurangan data rasmi kerajaan juga mendorong tumpuan lebih besar kepada sumber swasta seperti Laporan Pekerjaan Nasional ADP yang dijangka dikeluarkan pada Rabu.
Kenyataan daripada pegawai Federal Reserve (Fed) turut diperhatikan dengan teliti bagi mendapatkan petunjuk mengenai bagaimana bank pusat yang bergantung pada data itu akan menyesuaikan dasar monetarinya sekiranya tiada petunjuk ekonomi utama.
Dalam pada itu, Saham Uber Technologies merosot 5.1% selepas melaporkan kerugian suku tahunan, manakala saham Henry Schein pula meningkat 10.8% selepas menaikkan unjuran keuntungan tahunannya.
Jumlah dagangan di bursa AS bernilai $19.82 bilion, berbanding purata $21.04 bilion untuk tempoh 20 hari dagangan.




















































