Syarikat Amazon memaklumkan bahawa mereka merancang untuk menutup semua 19 kedai runcit Amazon Fresh di United Kingdom (UK).
Daripada 19 cawangan itu, lima akan ditukar kepada jenama Whole Foods Markets selepas berada di pasaran kurang daripada lima tahun.
Amazon Fresh telah memperkenalkan teknologi ‘walk-out’ di Britain, membolehkan pelanggan melangkau kaunter pembayaran ketika mengambil barangan runcit, termasuk barangan jenama Amazon.
Amazon semalam menyatakan bahawa keputusan menutup semua cawangan dibuat selepas menilai perniagaan dan peluang besar yang wujud dalam penghantaran dalam talian.
Syarikat itu turut melaporkan permintaan tinggi untuk barangan rumah dan runcit melalui amazon.co.uk, Amazon Fresh, Whole Foods Markets serta perkhidmatan penghantaran dalam talian Morrisons, Iceland, Co-op dan Gopuff.
Tahun depan, Amazon merancang untuk menawarkan barangan runcit mudah rosak, barangan harian dan produk lain di amazon.co.uk dengan penghantaran pada hari yang sama.