Tumpuan pasaran di pembukaan awal minggu terarah ke pasaran Jepun apabila kejutan pergerakan luar kebiasaan untuk mata wang Yen selain dagangan saham negara itu juga terkesan.
Sanae Takaichi memenangi pemilihan pemimpin Parti Demokratik Liberal (LDP) Jepun yang menjadikan beliau calon utama sebagai Perdana Menteri Jepun wanita yang pertama.
Disebabkan profil beliau yang dilihat bersifat ‘dovish’ iaitu menyokong perbelanjaan kerajaan yang agresif untuk merancakkan ekonomi, mata wang yen alami penyusutan yang ketara.
Penganalisis turut meramalkan bank pusat Jepun (BOJ) juga berkemungkinan akan menangguhkan rancangan untuk meneruskan langkah pengetatan dasar monetari.
Sementara, situasi di Amerika Syarikat (AS) dilihat masih lagi buntu setelah langkah penutupan kerajaan telah memasuki minggu kedua.
White House telah memberi amaran akan berlaku pemecatan besar-besaran pekerja persekutuan jika tiada persetujuan dicapai di Kongres untuk pembiayaan kerajaan dilaksanakan.
Undian majoriti 60 masih gagal dicapai ketika kedua-dua pihak dari Demokrat dan Republikan yang tidak sepakat untuk pakej perbelanjaan ekoran beberapa tuntutan dari Demokrat yang terhalang.
US dolar didagangkan lemah pada sesi New York semalam dengan ketidakpastian yang terus menyelubungi pasaran di awal minggu.
Pergerakan tidak menentu harga akan dijangkakan pelabur susulan kekurangan data-data ekonomi tumpuan yang akan diterbitkan sehingga Rabu.
Di penghujung minggu, pelabur akan menantikan kembali laporan pekerjaan yang ditangguhkan penerbitan minggu lalu.