Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sekali lagi menyuarakan hasratnya untuk meletakkan Greenland di bawah kawalan AS pada hari Isnin, susulan pengumuman rancangan melantik Gabenor Louisiana, Jeff Landry sebagai utusan khas ke pulau Artik itu.
Trump menegaskan langkah tersebut penting atas faktor keselamatan negara, sambil menyifatkan Landry sebagai tokoh berpengalaman dalam rundingan yang mampu membantu merealisasikan visinya terhadap Greenland.
Menurut Trump, kehadiran kapal Rusia dan China di sekitar perairan Greenland menjadi antara kebimbangan utama Washington.
Bagaimanapun, beliau menegaskan minat AS terhadap pulau itu bukan didorong oleh rizab tenaga atau mineral, sebaliknya berpunca daripada kebimbangan terhadap tahap keselamatan wilayah berkenaan.
Trump turut mempersoalkan komitmen Denmark dalam mempertahankan Greenland, dengan mendakwa negara itu tidak memperuntukkan perbelanjaan ketenteraan yang mencukupi untuk melindungi pulau tersebut.
Greenland merupakan wilayah autonomi di bawah Denmark, dengan pemerintahan sendiri dan parlimennya sendiri.
Minat Trump terhadap Greenland bukan perkara baharu.
Idea untuk membeli wilayah itu daripada Denmark telah dikemukakan sejak enam tahun lalu, namun isu tersebut kembali menjadi tumpuan dalam penggal keduanya.
Dalam tempoh ini, beberapa pegawai kanan AS, termasuk Naib Presiden JD Vance dan Setiausaha Tenaga Chris Wright, telah dihantar ke Greenland, manakala Donald Trump Jr turut melawat pulau itu pada Januari sebelum Trump mengangkat sumpah bagi penggal kedua.
Perhatian Washington terhadap Greenland telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan dan kerajaan Denmark.
Perkhidmatan Perisikan Pertahanan Denmark baru-baru ini buat kali pertama menyifatkan AS sebagai potensi risiko keselamatan, dengan merujuk kepada penggunaan kekuatan ekonomi dan teknologi sebagai alat pengaruh terhadap sekutu dan pihak lawan.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, menegaskan sokongan penuh Kesatuan Eropah terhadap Denmark dan rakyat Greenland.
Beliau menekankan bahawa keselamatan Artik kekal sebagai keutamaan utama EU, selain menegaskan prinsip integriti dan kedaulatan wilayah sebagai asas undang-undang antarabangsa yang perlu dihormati oleh semua negara.


























































