Emas melangkah kukuh pada dagangan pembukaan Januari 2025 ini dengan memaparkan corak peningkatan harganya yang positif.
Sebelum ini, harga emas susut ke sekitar paras $2,600 ketika dagangan di penghujung tahun 2024.
Namun logam kuning itu berjaya pamerkan aksi cemerlang pada Rabu dan Khamis semalam walaupun ketika mata wang US dolar turut mengukuh dalam pasaran.
Pergerakan harga diperhatikan pada carta XAU/USD yang mengukur nilai emas berbanding US dolar.
Harga telah memberi isyarat awal pada Rabu lalu ketika meningkat dari paras 2600.00 sebelum kenaikan melepasi garisan Moving Average 50 (MA50) pada rangka masa 1 jam di carta tersebut untuk isyarat pergerakan bullish.
Kemudian harga meneruskan peningkatan pada Khamis semalam sehingga mengatasi dagangan di paras minggu lepas yang mendatar di bawah paras 2640.00.
Kenaikan harga telah mencapai paras 2660.00 sehingga bersambung pada hari ini (Jumaat), namun momentum sedikit mengendur di sesi Eropah.
Kenaikan harga dijangka akan masih diteruskan, namun akan berdepan cabaran di rintangan 2670.00 terlebih dahulu.
Selepas berjaya melepasi paras tersebut, kenaikan lebih tinggi berkemungkinan akan diteruskan dengan sasaran untuk menuju sehingga 2700.00-2720.00.
Namun jika harga berundur turun pada dagangan di sesi-sesi akhir minggu ini, pelabur akan memerhati petunjuk untuk perubahan arah harga semula.
Penurunan di bawah garisan MA50 akan menjangkakan harga untuk susut kembali ke sekitar 2600.00 yang menjadi sokongan buat harga.
Lihat gambar carta harga XAU/USD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.