Putera Mahkota Mohammed bin Salman mengumumkan bahawa Arab Saudi akan meningkatkan jumlah pelaburan di Amerika Syarikat (AS) daripada $600 bilion kepada $1 trilion.
Beliau turut menyatakan bahawa komitmen $1 trilion itu adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang kerajaan untuk terus mempelbagaikan ekonomi negara dan mengurangkan pergantungan kepada hasil minyak.
Presiden AS, Donald Trump menyampaikan ucapan penghargaan kepada Putera Mahkota atas persetujuan untuk menyalurkan pelaburan bernilai $600 bilion di AS.
Ini merupakan lawatan pertama pemerintah Arab Saudi ke AS dalam tempoh lebih 7 tahun.
Putera Mahkota tiba di White House semalam untuk mengadakan rundingan dua hala dengan Trump yang dijangka merangka pemeteraian beberapa perjanjian penting.
Ketibaan Putera Mahkota Mohammed disambut dengan upacara penuh hormat, termasuk jet terbang dalam formasi V di ruang udara White House, tembakan meriam dan pancaragam Kor Marin AS yang memainkan lagu rasmi.
Trump menyambut Putera Mahkota di South Portico sebelum kedua-duanya melangkah masuk ke bangunan tersohor itu.
Kedua-dua pemimpin dijangka menandatangani beberapa perjanjian dua hala, termasuk jualan pesawat pejuang halimunan F-35, selain perjanjian perniagaan dan lain-lain.
Pelaburan ini juga dijangka meliputi sektor teknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI) dan komponen semikonduktor, sejajar dengan aspirasi Vision 2030 Arab Saudi.


























































