Susulan pengumuman OPEC+ yang merancang untuk menangguhkan tambahan pengeluaran pada suku pertama 2026, Arab Saudi bertindak menurunkan harga jualan minyak mentah utama ke Asia pada Disember.
Menurut senarai harga yang diperoleh Bloomberg, syarikat minyak negara Saudi Aramco menurunkan harga bagi gred utama Arab Light sebanyak $1.20 (RM5.02) setong, menjadikan ia kini pada premium $1 berbanding penanda aras serantau.
Pengurangan itu sedikit lebih rendah daripada jangkaan penganalisis yang meramalkan potongan sekitar $1.25.
Langkah ini diambil selepas Arab Saudi dan sekutunya dalam OPEC+ memutuskan untuk menghentikan sementara tambahan pengeluaran pada awal tahun depan selepas kenaikan kecil Disember ini dalam mengimbangi keperluan pasaran dengan risiko lebihan bekalan global.
Tindakan itu turut mencerminkan kebimbangan terhadap permintaan bermusim yang lemah serta kesan sekatan baharu Amerika Syarikat (AS) terhadap dua pengeluar minyak utama Rusia.
Harga minyak mentah Brent jatuh hampir 15% tahun ini dan kini diniagakan di bawah paras $65 setong, dengan kenaikan harga selepas pengumuman sekatan terhadap Rusia hanya bersifat sementara.
Selain Arab Light, Aramco turut menurunkan harga minyak gred Medium dan Heavy masing-masing sebanyak $1.40 setong, manakala gred Super Light dan Extra Light dipotong $1.20 bagi pasaran Asia pada bulan hadapan.





















































