Amerika Syarikat (AS) bersetuju untuk menilai cadangan Malaysia berhubung pengecualian tarif bagi beberapa produk komoditi utama seperti minyak sawit dan koko, dengan keputusan dijangka dimuktamadkan bulan depan.
Ketua perunding tarif rasmi Malaysia, Mastura Ahmad Mustafa yang juga Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), berkata AS turut mempertimbangkan tarif sifar untuk perabot, alat ganti serta komponen automotif dan aeroangkasa.
Menurut Mastura, perkara itu telah dibangkitkan dalam beberapa sesi rundingan sebelum ini.
Malaysia dalam proses memperincikan perjanjian mengenai tarif timbal balik. Beberapa sesi maya dengan pihak AS telah diatur bagi memuktamadkan perjanjian ini.
AS memberi isyarat mereka terbuka untuk mempertimbangkan barangan yang tidak dihasilkan di dalam negara mereka. Bagi produk sebegini, mereka menilai kemungkinan memberikan pengecualian tarif sifar di bawah pengaturan unilateral.