Amerika Syarikat (AS) membuat satu pengumuman penting pada Selasa semalam iaitu meluaskan skop tarif keluli dan aluminium kepada ratusan lagi produk industri dan pengguna, termasuk kerusi bayi, peralatan rumah tangga serta jentera berat.
Menurut notis yang diwartakan dalam Federal Register, langkah baharu itu bermakna tarif 50% yang diumumkan Presiden Donald Trump sebelum ini turut dikenakan ke atas kandungan keluli dan aluminium dalam 407 jenis produk baharu.
Antara barangan yang terjejas termasuk turbin angin, kren mudah alih, bulldozer, gerabak kereta api, perabot, pam dan pemampat.
Setiausaha Biro Keselamatan Industri dan Perdagangan, Jeffrey Kessler berkata tindakan tersebut bertujuan menutup ruang pengelakan tarif sekali gus mengukuhkan industri keluli dan aluminium domestik.
Sejak kembali menerajui White House, Trump telah mengenakan tarif antara 10% hingga 50% ke atas hampir semua rakan dagang utama, dengan beberapa sektor tertentu menerima kadar lebih tinggi.
Walaupun kesan segera terhadap inflasi masih terhad, penganalisis memberi amaran bahawa kos lebih tinggi akhirnya bakal ditanggung pengguna apabila peruncit dan pengimport tidak lagi mampu menyerap beban tarif tersebut.