Mahkamah di Dhaka telah menjatuhkan hukuman mati terhadap bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina atas tuduhan melakukan jenayah terhadap kemanusiaan.
Persidangan mahkamah tersebut berlangsung tanpa kehadirannya.
Menurut laporan berita The Guardian, beliau didakwa melakukan jenayah terhadap kemanusiaan susulan kegagalannya menghalang pembunuhan besar-besaran dalam insiden protes anti-kerajaan yang dipimpin pelajar tahun lalu.
Sebelum ini, Hasina menafikan tuduhan itu dan mendakwa tribunal berkenaan ‘bermotifkan politik.’
Hasina dijatuhkan hukuman oleh tribunal selepas perbicaraan berbulan-bulan berlangsung, walaupun beliau telah melarikan diri ke India sejak Ogos tahun lalu.
Hasina yang hidup dalam buangan kini dilindungi oleh negara jirannya, India dengan kerajaan negara itu mengabaikan permintaan Bangladesh untuk menyerahkannya bagi menghadapi perbicaraan.
Ahli keluarga penunjuk perasaan yang terkorban dalam protes menangis teresak-esak di mahkamah ketika hakim menjatuhkan hukuman mati ke atas Hasina dan bekas Menteri Dalam Negeri, Asaduzzaman Khan, yang turut didakwa dalam perbicaraan tersebut.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa kira-kira 1,400 individu maut antara Julai dan Ogos 2024 ketika kerajaan pimpinan Hasina berusaha mengekalkan kuasa pemerintahan.

























































