Belarus dan Iran membuat satu keputusan yang mengejutkan ramai dengan menandatangani 13 buah perjanjian baharu merangkumi bidang pertahanan, industri, pelancongan serta sains dan teknologi sekaligus menyaksikan pengukuhan hubungan di antara dua sekutu Rusia tersebut.
Perjanjian itu dimeterai Presiden Belarus, Aliaksandr Lukashenka dan rakan sejawatannya dari Iran, Masoud Pezeshkian, dalam lawatan rasmi di Minsk semalam.
Kedua-dua negara yang kini bersama-sama berdepan sekatan antarabangsa itu menegaskan kerjasama mereka mampu “menyahaktifkan” tekanan Barat.
Pezeshkian berkata pengalaman Iran selama puluhan tahun berdepan sekatan akan dikongsi bersama Belarus, manakala Lukashenka pula menegaskan Minsk bersedia berada di barisan yang sama dengan negara tersebut bekerjasama dalam semua bidang, termasuk ketenteraan.
Lawatan Pezeshkian itu sebelum ini beberapa kali tertangguh berikutan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas kemudahan nuklear Iran.
Dalam kenyataan bersama, Lukashenka menyifatkan serangan itu sebagai ancaman serius terhadap kestabilan serantau dan antarabangsa, sekali gus menyatakan sokongan terhadap hak Iran membangunkan tenaga nuklear secara aman.
Kedua-dua pemimpin turut bersetuju memulakan rundingan ke arah pembentukan perjanjian perkongsian strategik, menandakan hubungan Minsk-Tehran bakal memasuki fasa baharu.