Niaga hadapan saham Amerika Syarikat (AS) kekal stabil pada Rabu selepas indeks utama Wall Street mencatat kenaikan pada sesi sebelumnya apabila selera risiko kembali meningkat dalam pasaran.
Indeks Dow Jones naik 0.39% kepada 47,474.46 mata, S&P 500 meningkat 0.25% kepada 6,829.37 mata, manakala Nasdaq yang berfokus kepada sektor teknologi menokok 0.59% kepada 23,413.67 mata.
Lantunan semula harga Bitcoin turut menyokong sentimen pasaran, sementara pelabur menilai potensi rali akhir tahun, memandangkan prestasi bulan Disember lazimnya kekal kukuh.
Saham kripto ditutup lebih tinggi, termasuk MicroStrategy mengukuh 5.8% dan Coinbase meningkat 1.3% selepas harga bitcoin melonjak semula daripada kerugian dolar terbesar sejak Mei 2021 pada sesi sebelumnya.
Dalam perkembangan lain, pasaran kini menjangkakan peluang 89% bahawa Federal Reserve (Fed) akan mengurangkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas minggu hadapan.
Tumpuan kini beralih kepada laporan pekerjaan ADP bagi November yang akan diterbitkan pada Rabu jam 9:15 malam waktu Malaysia untuk mendapatkan gambaran terkini mengenai keadaan pasaran buruh.
Sementara itu, saham teknologi dan runcit juga mencatatkan prestasi cemerlang dalam pasaran.
Saham Marvell Technology melonjak 10% dalam dagangan lanjutan berikutan laporan keputusan suku ketiga yang kukuh dan unjuran pertumbuhan hasil pusat data positif untuk tahun fiskal seterusnya.
Saham American Eagle Outfitters turut meningkat 10% selepas syarikat itu memberikan unjuran jualan musim percutian yang lebih kukuh.




















































