Bank of Canada (BOC) pada sesi New York semalam telah menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada 2.50%, paras terendah 3 tahun dan sekali gus menjadi pemotongan pertama dalam tempoh enam bulan.
Gabenor BOC Tiff Macklem menjelaskan keputusan itu dibuat kerana risiko kelembapan ekonomi semakin meningkat dengan pasaran pekerjaan melemah, eksport terjejas akibat tarif Amerika Syarikat (AS), dan inflasi yang semakin reda.
Beliau menegaskan bank pusat bersedia untuk melakukan pemotongan tambahan sekiranya data ekonomi menunjukkan keadaan yang terus merosot.
Selepas pengumuman tersebut, mata wang Kanada melemah sekitar 0.2% apabila pasaran menilai prospek dasar monetari yang lebih longgar dan nada yang dovish yang diterjemahkan dari ucapan gabenor Macklem.
Pasaran bon Kanada turut menyaksikan pelabur meningkatkan jangkaan bahawa lebih banyak pemotongan kadar mungkin berlaku sebelum akhir tahun, mencerminkan kebimbangan terhadap hala tuju pertumbuhan ekonomi negara itu.
Sementara untuk tumpuan hari ini (Khamis) setelah mesyuarat FOMC berakhir, pelabur akan memberi tumpuan pula kepada keputusan mesyuarat polisi bank pusat England (BOE).
Dengan jangkaan kadar faedah dikekalkan pada 4.00%, pelabur ingin melihat pandangan bank pusat susulan data inflasi UK yang diterbitkan semalam.
Pada Jumaat pula, Bank of Japan (BOJ) pula akan mengumumkan keputusan kadar faedah terbaru dengan kenyataan susulan oleh bank pusat akan diperhatikan untuk petunjuk hala tuju dasar monetari selanjutnya.