Britain dijangka mengiktiraf negara Palestin secara rasmi hujung minggu ini, selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menamatkan lawatan ke negara itu.
Perdana Menteri Keir Starmer pada Julai lalu memberi amaran bahawa Britain akan bertindak sekiranya Israel gagal meredakan penderitaan di Gaza dan mencapai gencatan senjata dengan Hamas.
Starmer menegaskan bahawa Britain akan mengiktiraf Palestin di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu depan, kecuali Israel mengambil langkah konkrit untuk meringankan keadaan di Gaza.
Beliau juga menghadapi tekanan daripada sebahagian anggota Parti Buruh agar mengambil pendirian lebih tegas terhadap Israel.
Kerajaan Israel menyatakan pengiktirafan Palestin yang turut dilakukan oleh Perancis, Australia dan Kanada bulan ini, hanya akan memberi ‘ganjaran’ kepada Hamas.
Menurut laporan akhbar The Times, Britain akan membuat pengumuman rasmi selepas lawatan Trump berakhir hari ini.
Britain telah lama menyokong dasar ‘penyelesaian dua negara’ untuk menamatkan konflik di rantau itu, namun sebelum ini menegaskan bahawa ia hanya boleh dilaksanakan pada masa yang sesuai.