Menurut Kementerian Kewangan (MOF), setakat Ogos 2025, seramai 1.12 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mencarum secara sukarela dengan jumlah caruman bernilai RM14.13 bilion.
Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam, kementerian itu memaklumkan bahawa KWSP telah menyediakan pelbagai saluran bagi memudahkan ahli mencarum, sebagai usaha membantu mereka membina simpanan persaraan.
Setakat Ogos 2025, seramai 227,000 ahli KWSP telah mendaftar untuk membuat caruman melebihi kadar berkanun bagi caruman pekerja.
Kenyataan itu dibuat semasa MOF menjawab soalan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Faisal (Bukit Gantang) berhubung perancangan kerajaan untuk menggalakkan rakyat membuka akaun KWSP.
MOF turut menjelaskan bahawa bagi tempoh separuh pertama tahun 2025, program i-Saraan telah merekodkan jumlah caruman sebanyak RM2.8 bilion melibatkan 487,375 ahli.
Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 74% berbanding RM1.6 bilion, serta peningkatan 48% dalam jumlah ahli berbanding 330,196 ahli yang direkodkan pada separuh pertama tahun 2024.
Selain itu, seramai 158,000 suami telah menyertai program i-Sayang, dengan jumlah pindahan caruman sebanyak RM309.4 juta setakat Ogos 2025.
























































